Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masukkan entri pertama untuk tahun 2017. Salah satu resipi sihat yang tidak perlu ditumis. Kalau sebut laksa assam mesti ada yang rasa kecur air liur. Dengan rasa masam2 lemak, aroma bunga kantan, daun kesom, ikan dan segala ramuan2 yang menjadikan ia laksa assam. Pada pendapat che mat, paling penting untuk mendapatkan kuah laksa assam yang sedap, ikan perlu segar dan kualiti belacan juga memainkan peranan. Ada juga teman2 yang masukkan seekor ketam dalam kuah laksa assam untuk mendapatkan rasa kuah yang lebih sedap. Itu semua terpulang, jika ada ketam dan nak masukkan, tak salah boleh saja. Che mat hanya guna bahan2 yang ada kat rumah. Ikan yang biasa digunakan untuk kuah laksa assam selain ikan kembong, ialah ikan selayang atau ada yang panggil ikan sardine. Ikan tenggiri pun boleh, janji ikan segar..
Disebabkan che mat tak ramai, maka untuk kuah ni hanya guna kurang lebih 600 gram ikan kembong besar (3 ekor). Dan untuk lebih mudah, ikan kembong tu kita rebus dalam periuk tekanan selama 1 jam hingga tulang2 dia semua lembut seperti sardine dalam tin. Kendian kisar guna food processor hingga lumat, tulang2 dia semua hancur, memang mudah dan cepat. Satu lagi bahan yang wajib ada ialah petis atau otak udang. Yang ni anda boleh beli di kedai2 runcit dan pasaraya. Kadang2 kat pasar lambak atau pasar malam pun ada jual, cari orang yang meniaga bahan2 runcit. Laksa assam paling sedap dihidangkan panas, memang heaven sangat...silap2 boleh gasak 2 mangkuk!...Resipi amat mudah dan pasti anda boleh buat...😉
BAHAN - BAHAN KUAH LAKSA ASSAM :-)
600 - 700 gram ikan kembong (atau ikan selayang. ikan tenggiri)
1/2 cawan jus asam jawa
4 keping asam gelugor
2 kuntum bunga kantan, dibelah 2 setiap 1
1 genggam daun kesom
1/2 cawan cili kisar (boleh kurang atau lebihkan)
2 1/2 liter air
Garam dan gula secukup rasa
BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah kecil
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 batang serai, hiris halus
2 inci belacan
2 biji cili merah
BAHAN - BAHAN LAKSA ASSAM :-)
Mi laksa secukupnya
Hirisan daun salad
Hirisan daun kesom
Hirisan halus bunga kantan
Timun dihiris jejari
Nanas, dihiris jejari
Bawang besar, dimayang halus
Daun pudina secukupnya
Cili merah, dihiris halus
Limau nipis atau limau kasturi, dibelah 2
Petis @ Otak udang secukupnya
CARA MEMBUATNYA :-)
- UNTUK KUAH LAKSA ASSAM :- Ikan disiang, cuci bersih dan rebus hingga masak. Keluarkan ikan, asingkan isinya, tumbuk halus dan ketepikan. Tulang2 ikan dikisar halus, tapis dan ketepikan. Air rebusan ikan ditapis dan masukkan ke dalam periuk. Tambah bahan2 kisar halus, isi ikan, stok dari tulang ikan yang dikisar tadi, cili kisar, asam gelugor, jus asam jawa dan air.
- Kacau rata dan masak hingga menggelegak. Masukkan bunga kantan dan daun kesom, kecilkan api dan masak selama 25 - 30 minit, tambah air panas jika perlu. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau dan masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. (kalau anda guna serbuk perasa, tak perlu masukkan gula).
- UNTUK LAKSA ASSAM :- Masukkan mi laksa secukupnya dalam mangkuk sesuai. Tuang kuah laksa (pastikan anda kacau dulu kuah tadi sebelum dituang ke dalam mangkuk). Taruk hirisan daun salad, hirisan bunga kantan, hirisan daun kesom, hirisan cili merah, hirisan timun, bawang dan nanas.
- Tambah daun pudina dan sudukan 1 camca besar petis @ otak udang. Jangan lupa perahkan jus limau nipis atau limau kasturi sebelum dimakan. Kalau suka pedas, cili merah boleh ganti dengan hirisn cili padi. Hidangkan segera.
CATATAN MAT GEBU :- Ikan untuk kuah laksa tu biasanya che mat potong kepala dia sebelum direbus. Jika guna laksa kering, pasti anda rebus dalam air yang dimasukkan sedikit garam. Rebus hingga mi laksa kembang, toskan dan cuci bawah air paip untuk membuang kanjinya.... Selamat mencuba!!