Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak menu klasik, masak lemak cili padi babat sama rebung jeruk. Ok. sebelum diteruskan kita cerita pasal rebung jeruk dulu. Rebung paling sesuai untuk dijadikan jeruk ialah rebung buluh betong, dan biasanya rebung yang tumbuh dari dalam tanah lebih sedap berbanding rebung yang tumbuh tertenggek. Rebung madu pada pendapat che mat, kurang sesuai dijeruk (tak sedap!). Cara menjeruk rebung juga tidak sukar. Rebung buluh betong dibuang kulit luarnya hingga jumpa bahagian yang putih. Cuci dan sagat nipis (guna sagat yang orang bikin kerepek ubi atau kerepek pisang ). Cuci dan masukkan ke dalam botol atau bekas bertutup. Tuang air dan masukkan garam kasar secukupnya dan kacau rata, pastikan terasa masin. Tutup rapat dan jeruk selama seminggu di tempat yang terlindung dari cahaya matahari. Lagi lama dijeruk, rebung akan lebih masam dan baunya juga agak kuat. Setakat seminggu baunya masih segar dan rasa masam juga dalam tahap sederhana. Selain babat (atau perut lembu), kita boleh gantikan dengan daging salai, ikan (samada ikan air tawar seperti ikan haruan, ikan terebul, ikan putih, ikan keli dan sebagainya atau pun ikan air masin). Jika anda penggemar menu2 tradisi, ini sudah pasti menjadi pilihan....Resipi seperti berikut..
BAHAN - BAHANNYA :-)
600 gram babat lembu (@perut tuala)
3 ulas bawang putih, diketuk*
1 inci halia, hiris nipis*
2 cawan rebung jeruk yang telah ditoskan
3 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
1 liter santan cair
500 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa
BAHAN - BAHAN KISAR HALUS :-)
1/4 cawan cili padi kampung (che mat guna yang merah dan hijau)
7 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
2 inci kunyit hidup
CARA MEMBUATNYA :-)
- Babat direbus dengan bawang putih* dan halia* hingga lembut. Toskan, biar sejuk dan potong babat tadi kurang lebih saiz ibu jari, masukkan ke dalam periuk bersama2 rebung jeruk yang telah ditoskan dan dicuci dan serai titik.
- Tambah bahan2 kisar dan asam gelugor. Gaul rata dan tuang santan cair, kacau dan masak hingga mendidih dan rebung lembut. Sederhanakan api, tuang pati santan, masukkan daun kunyit dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau rata dan biarkan mendidih dengan api kecil selama 5 minit dan dikacau sentiasa. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain....Selamat mencuba!