RESIPI NASI DAGANG TERENGGANU

rsz_nst
Assalammualaikum, salam semua. Ini entri pertama untuk bulan April 2017. Jarang dah kemas kini blog. Disebabkan kerap masak menu yang sama, che mat rasa macam tak seronok pulak untuk berkongsi di blog. Ada tu resipi disertakan sama ada di FB atau IG. Hari ni entah semangat apa yang menyerap, tiba2 kerajinan datang untuk membuat nasi dagang style Terengganu. Semuanya bermula di IG, bila seorang kenalan che mat berkongsi gambar nasi dagang yang dia nikmati. Punyalah rasa terliur dan mengidam terus nak makan nasi dagang. Pagi tadi lepas subuh che mat cuci baju, disebabkan masih awal pagi, ku sambung tidur sekejap, dalam tidur tu sempat mimpi masak nasi dagang, eh tak boleh jadi nih, sampai termimpi2. Maka cepat2 rendam beras dan pulut (sepatutnya kena rendam semalaman atau 8 jam, tapi che mat hanya rendam dalam 5 jam lebih saja). Dan satu lagi, biasanya nasi dagang Terengganu mereka gunakan beras wangi dicampur dengan beras pulut. Tapi yang ada beras pulut dan beras biasa (beras cap rambutan beg biru). Belasah ajer lah, kan kita yang buat dia....

rsz_nst1

Alhamdulillah, berhasil juga dan rasa dia sudah pasti sedap. Takkan nak kata tak sedap, dah sendiri yang masak. Che mat guba kurang lebih 2 bahagian beras biasa (@ beras wangi) + 1 bahagian beras pulut. Dalam resipi nanti che mat taruk sukatan guna cawan. Tapi yang che mat buat betul2 guna sukatan mug saiz kecil (kurang lebih berisipadu 300 ml). Bila tengok resipi2 di internet, ada yang buat pelbagai cara, salah satunya selepas nasi dikukus dengans santan cair hingga masak. Kemudian santan pekat digaul selepas nasi masak dan dibiarkan santan tadi meresap ke dalam nasi. Tapi che mat kukus sekali lagi tujuannya untuk nasi lebih tahan lama.


rsz_nst2 rsz_nst3
Seperti biasa, nasi dagang mau versi Terengganu atau pun Kelantan, lauk gulai ikan tongkol wajib ada selain gulai ayam. Untuk gulai ikan tongkol atau belah2 pantai timur panggil ikan aye, che mat gunakan rempah masak dan rempah gulai cap rose. Kalau takde, boleh guna rempah kari biasa. Ikan perlu direbus terlebih dahulu. Che mat rebus dalam periuk tekanan selama 1 jam dan ikan tadi jadi lembut seperti ikan sardine. Selain gulai, acar mentah dan telur rebus jadi pelengkap hidangan. Telur rebus tu boleh juga kalau kita nak masukkan dalam gulai, tak jadi masalah. Kalau nak mencuba, che mat tuliskan resipinya di bawah ini....


NASI DAGANG TERENGGANU...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 cawan penuh beras wangi*
1 cawan beras pulut*(*disatukan gaul rata. cuci dan rendam semalaman atau 8 jam)
2 cawan santan segar
1/2 camca teh gula
Garam secukup rasa
1 helai daun pandan
4 biji bawang merah, hiris halus
1 inci halia, mayang halus
1 camca teh halba

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan kukusan. Beras wangi + beras pulut yang direndam tadi, ditoskan. Taruk dalam kukus, letakkan daun pandan dan kukus selama 25 minit. Sementara itu, masukkan garam secukup rasa dan gula ke dalam santan, kacau hingga rata. Angkat beras dari kukus dan alihkan ke dalam mangkuk besar. Tuang 1/2 bancuhan santan dan gaul rata, tambah hirisan bawang merah, halia dan halba. Gaul lagi dan biar sekejap hingga santan meresap. Masukkan kembali ke dalam kukus dan kukus 20 minit.
  2. Kemudian tuang kembali nasi ke dalam mangkuk dan curahkan baki santan tadi. Gaul rata dan biar sekejap hingga santan meresap. Kukus lagi kurang lebih 20 minit. Gemburkan nasi dan kukus sekejap lagi hingga nasi betul2 masak..Boleh matikan api dan boleh hidangkan dengan gulai ikan tongkol, acar mentah dan telur rebus..

GULAI IKAN TONGKOL...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ikan tongkol @ ikan aye saiz sederhana besar
3 ulas bawang putih, diketuk*
1 inci halia, hiris*
1/2 inci lengkuas, hiris*
3 keping asam gelugor*
1 camca teh garam*
1 biji bawang besar, hiris
1 ulas bawang putih, hiris
1/2 camca teh halba
1/4 camca teh jintan manis
2 camca besar penuh cili kisar
1 camca besar penuh rempah masak cap rose*
1 camca besar penuh rempah gulai cap rose*(*boleh tengok di sini)
10 biji cili padi, belah 2 tapi tak putus setiap 1
1 biji bawang besar, belah 6
1 camca besar gula melaka
1 cawan pati santan
Air rebusan ikan secukupnya
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 inci kunyit hidup
3 keping hirisan lengkuas
Secubit belacan (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan tongkol disiang, kemudian kerat pada beberapa bahagian. Cuci bersih dan rebus dengan bahan2 bertanda (*) selama 1 jam, tambah air panas jika perlu. Kemudian matikan api. Asingkan ikan dan tapis air rebusannya. Ketepikan.
  2. Satukan rempah gulai dan rempah masak cap rose dengan bahan2 kisar halus. Gaul rata hingga menjadi pes rempah, ketepikan. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bawang besar hiris, jintan manis dan halba hingga harum dan bawang layu. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing, Tambah pes rempah, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Gula api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Tuang air rebusan ikan tadi, kacau dan biarkan mendidih. Masukkan ikan tongkol rebus, tuang santan dan masukkan gula melaka. Kacau perlahan, bila menggelegak, kecilkan api dan renih hingga pekat. Tambah garam secukup rasa (rasa dulu sebab air rebusan ikan tadi dah ada garam) dan masukkan cilipadi belah. Kacau perlahan dan masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Boleh hidangkan dengan nasi dagang...

ACAR MENTAH...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 biji timun
1 batang lobak merah saiz besar
1 biji bawang besar
1 biji cili merah
6 camca besar cuka makan
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Timun dicuci bersih, kerat tiga atau empat bahagian, belah dua setiap satu dan buang empulurnya. Hiris nipis seperti anak mancis, rendam sekejap dalam air yang ditambah sedikit garam. Lobak merah juga dihiris sama macam timun dan direndam sekejap dalam air yang ditambah sedikit garam. Rendamkan selama 15 minit, kemudian toskan dan perah airnya, ketepikan.
  2. Cili merah dikerat tiga, buang bahagian tengahnya dan hiris seperti anak mancis. Bawang besar dibelah lapan dan leraikan. Ketepikan.
  3. Dalam mangkuk, masukkan cuka makan, garam secukup rasa (anggaran 1/3 camca teh) dan gula kurang lebih 2 camca besar penuh atau secukup rasa. Kacau hingga larut. Masukkan hirisan timun, hirisan lobak merah, bawang besar dan cili merah. Gaul rata dan biarkan 10 minit, rasa dan jika ok boleh hidangkan....Selamat mencuba!!

Subscribe to receive free email updates: