RESIPI LEMAK CILI PADI PETAI MUDA

rsz_petai_kikis





Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat kongsikan satu resipi klasik yang mungkin jarang2 dimasak ditempat lain. Bonda che mat pernah tinggal di Rembau semasa dia kecil dulu dan bonda sering bercerita kisah2 dan gaya kehidupan ketika itu yang begitu amat dan praktikal. Memasak pun hanya gunakan bahan2 asas yang ada disekitar kawasan kampung, seperti kunyit, cilipadi, serai, kelapa dan bahan mentah ada tu seperti ikan air tawar, mereka pancing atau menjala sendiri samada di sungai ataupun sawah. Bila musim petai, mereka akan manfaatkan petai tadi dengan memasak pelbagai masakan menarik. antara yang popular bila musim petai dan tentulah menu masak lemak cili padi petai muda. Semalam masa ke pasar pagi di Benut, Pontian, che mat beli 2 ikat petai yang agak muda, jadi hari ni kita masak menu klasik yang terkenal di Negeri Sembilan. Untuk sedikit kelainan, che mat masukkan cendawan kukur...kan kita yang buat dia, betul tak.

gpk3
Petai che mat guna dalam 5 papan, dibuang tepinya dan kikis macam dalam gambar atas tu. Lepas siap kikis, kita kerat dan rendam dalam air. Cendawan kukur juga perlu direndam hingga kembang, sebab che mat guna yang kering, kemudian dibersihkan dan tumbuk sedikit. Cendawan akan menjadikan masakan ini lagi sedap dan wangi. Jika takde cendawan, tak perlu letak, guna petai saja pun dah ok. Jika nak mencuba, che mat kongsikan resipinya di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
5 papan petai muda
1 cawan penuh cendawan kukur kering, direndam hingga kembang
3 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
1 liter santan cair
500 ml pati santan
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam 10 minit, toskan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN TUMBUH HALUS :-)
1/3 cawan cili padi kampung (che mat guna yang merah dan hijau)
2 inci kunyit hidup, pilih kunyit tua

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Petai muda dibuang sedikit bahagian tepinya, kemudian kikis bahagian kulit luar petai pada kedua2 bahagian, buat hingga semua siap, kerat seperti dalam gambar di atas dan rendam. Cendawan kukur ditoskan, cuci sekali lagi, toskan dan perah. Kemudian tumbuk sedikit (sekadar memar2kan saja, jangan sampai hancur pulak).
  2. Masukkan bahan2 tumbuk halus ke dalam periuk bersama cendawan kukur, petai kikis (toskan dulu air redamannya) dan serai titik. Gaul rata dan tuang santan cair, kacau dan masak hingga mendidih.
  3. Masukkan asam gelugor dan masak dengan api sederhana hingga petai kikis lembut. Tuang pati santan, masukkan daun kunyit, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau rata dan masak dengan api kecil hingga mendidih, kacau sentiasa. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi putih dan lauk2 lain...Selamat mencuba!!

Subscribe to receive free email updates: