RESIPI KETAM MASAK LEMAK SAMA NANAS

rsz_gknanas
Assalammualaikum, salam Jumaat semua. Hari ni che mat masak awal, eerr, bukan hari2 ke masak awal?..Hurmm, gitu lah, kadang2 rasa macam berniaga kantin sekolah pulak...hahaha, takpe lah, siap awal kita boleh bikin kerja lain pulak, yea dak. Tapi kalau sayur, che mat masak lambat sikit lah, cuma lauk2 seperti asam pedas, gulai lemak atau kari, yang tu memang kena masak awal. Kenapa? Sebabnya lauk2 macam tu, lepas beberapa jam, rasa dia lagi sedap, sebab rencah2 dia semua dah mesra. Semalam ada beli ketam, dan seafood macam ketam ni elok kita masak segera, kalau simpan dalam freezer lama sangat nanti isi dia semua kecut, jari2 dia semua tanggal, tu jam dah jadi ketam cacat, rasa pun kurang sedap dah. Atas permintaan, che mat masak lemak taruk nanas, biasalah orang Johor kan, selain guna timun, nanas juga popular dimasukkan ke dalam gulai lemak. Satu lagi, che mat kurang suka masak yang lemak yang ditumis bahan2 rencah dia. Kalau ada yang nak mencuba, meh che mat kongsikan resipi dia di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 ekor ketam bunga (ketam sepit biru) saiz besar
1 biji nanas madu saiz sederhana, dikupas, belah 4, buang empulur dan hiris sederhana tebal
2 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit
1 liter santan cair
300 ml pati santan
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa
Air panas jika perlu

BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
3 keping hirisan nanas madu
1 inci kunyit hidup
1 biji cili merah
20 biji cili padi kampung
Sebesar ibu jari, belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ketam dibuang kulit kerasnya. Gunting hujung2 kaki kecilnya dan juga duri2 tajam dibahagian penyepit ketam. Kerat dua setiap seekor (sebab ketam tu besar, kalau guna ketam kecik, toksah kerat, masak seekor2). Cuci bersih dan toskan.
  2. Masukkan ketam tadi ke dalam periuk bersama2 dengan serai titik, asam gelugor dan bahan2 kisar halus. Gaul rata dan masak hingga mendidih. Tuang santan cair, kacau rata dan bila mendidih, boleh  masukkan manas. Kacau perlahan dan masak hingga nanas lembut sedikit. Jika kurang kuah, boleh tambah sedikit lagi air panas.
  3. Tuang pati santan, masukkan daun kunyit, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula (che mat tak taruk gula, sebab dah kisar beberapa keping hirisan nanas tadi, jadi kuah dah manis). Biarkan mendidih dengan api kecil dan kacau sentiasa. Masak untuk 3 - 4 minit, rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan dengan nasi putih, sambal belacan dan lauk2 lain. Selamat mencuba!!

Subscribe to receive free email updates: