RESIPI KUIH BINGKA UBI NYONYA

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni, hari terakhir dalam bulan Sya'ban dan in sha Allah esok kita akan tiba Ramadan yang mulia dan umat islam mula berpuasa. Maka rutin harian pun bertukar. Apa tah lagi dengan negara kita yang masih dalam kawalan pergerakkan dan ramai masih bekerja dari rumah. Suri2 rumah pun mula sibuk menghimpunkan resipi2 untuk berbuka dan bersahur. Selain lauk pauk dan juadah berbuka, manisan pencuci mulut juga sering mendapat perhatian. Kuih-muih antara yang menjadi santapan waktu berbuka. Hari ni che mat kongsikan satu resipi kuih bingka ubi style orang peranakan. Kuih bingka ubi ini amat mudah dibuat dan rasa dia pun cukup sedap. Pada che mat, permukaan bingka ubi yang berkerak itu lah yang memberi rasa paling sedap selain menjadikan bingka ubi berbau harum. Kalau zaman dulu, mak2 kita bakar kuih bingka menggunakan kayu api, dan rasanya berkali ganda lagi sedap dari yang dibakar dalam oven. 

Ada resipi yang ubi parutnya perlu kita toskan dan kemudian mendapan sagu ubi kita ambik dan gaul kembali dengan ubi parut, tapi yang ni tak perlu, senang, semua sekali jalan, lepas tu tuang dalam loyang dan bakar sampai masak. Tak de pantang larang, in sha Allah menjadi. Che mat bakar dalam tin berukurun 8 x 8 x 3 inci. Kalau suka nak guna acuan tembaga yang bentuk bunga tu pun boleh, mungkin boleh dapat 3 biji kuih bingka. Satu tip untuk mendapat potongan kuih bingka atau apa2 jenis kuih talam atau pun binka yang cantik, kuih kena betul2 sejuk dan selepas setiap potongan pisau perlu dilap bersih. Jika merancang nak buat untuk berbuka esok, che mat sarankan, buat kuih ni awal2, pagi pun takpe, dan bila sampai waktu berbuka, kuih dah elok sejuk dan in sha Allah nak potong pun mudah dan hasilnua pasti kemas dan molek...Resipi boleh semak di bawah ini...Selamat menyambut Ramadan semua...

BAHAN-BAHANNYA :-)
600 gram parutan ubi
70 gram kelapa parut, bahagian putihnya sahaja
250 ml santan
100 gram gula halus
2 biji telur gred A
1 camca teh esen vanilla
2 camca besar mentega, dicairkan
1/4 camca teh garam
Beberapa titik pewarna kuning makanan

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan oven pada suhu 190C, alas kesemua bahagian dalam tin berukuran 8 x 8 x 3 inci dengan aluminum foil dan lenser dengan mentega hingga rata. Masukkan tin tadi ke dalam oven dan biarkan.
  2. Dalam mangkuk besar, satukan kesemua bahan2 untuk kuih bingka ubi, kecuali pewarna kuning makanan. kacau rata dengan senduk atau whisk, pastikan dikacau hingga gula larut dan semua sebati. Masukkan pewarna kuning makanan dan kacau rata. Ketepikan sebentar.
  3. Keluarkan tin dari dalam oven, berhati2 kerana tin panas. Berhati2 tuang adunan kuih bingka ubi ke dalam tin tadi dan bakar dalam oven selama 1 jam atau hingga masak. Uji dengan mencucuk lidi sate bersih atau cake tester di bahagian tengah kuih, jika keluar bersih, tanda kuih dah masak. 
  4. Untuk mendapat permukaan kuihyang berkerak, 10 minit sebelum tamat waktu membakar, tukar api oven kepada fungsi grill dan bakar sampai permukaan kuih bingka coklat keemasan dan berkerak. Keluarkan dari oven, biarkan sekejap dan boleh keluarkan dari tin. Biarkan kuih bingka betul2 sejuk sebelum dipotong. Selamat mencuba!

Subscribe to receive free email updates: